|
Pengenalan
Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), adalah anak syarikat ahli Kumpulan DRB-HICOM yang ditubuhkan bertujuan untuk mengambil pendekatan baru yang lebih efektif ke arah mencapai matlamat Malaysia yang lebih bersih, indah dan sihat. Hasrat ini dilaksanakan menerusi penswastaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam berkuatkuasa pada 1 September 2011. Ia bertujuan untuk memodenkan pengurusan sisa pepejal di Malaysia dalam usaha mengurangkan kesan pencemaran kepada udara, air dan kualiti kehidupan.
Matlamat utama penswastaan ini adalah untuk meningkatkan kecekapan dan mutu pengurusan sisa pepejal daripada peringkat penjanaan sampah sehingga ke proses pelupusan sampah. Dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih efisien kepada pelanggan-pelanggan, Alam Flora mengambil langkah menambah baik tenaga kerja, penggunaan lori-lori kompaktor berteknologi baru serta penyediaan tong-tong sampah yang mencukupi.
Dalam Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), Alam Flora tertakluk di bawah Perjanjian Konsesi selama 22 tahun dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) untuk kerja-kerja pengurusan sisa pepejal dan perkhidmatan pembersihan awam. Kini, Alam Flora adalah di antara tiga buah syarikat yang diberikan konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negara ini. Alam Flora dipertanggungjawabkan untuk mengambil alih perkhidmatan di kawasan Tengah dan Pantai Timur Semenanjung, meliputi seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Alam Flora mula beroperasi di Kuala Lumpur pada Januari 1997, dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas seluruh Pahang semenjak November 1998 dan juga Putrajaya. Dengan penguatkuasaan Akta 672, terdapat beberapa pembaharuan yang akan dilaksanakan oleh Alam Flora termasuk pengagihan tong-tong sampah berkapasiti 120 liter yang berpenutup, beroda dan mesra alam kepada rumah-rumah kediaman (landed premises). Di samping itu, Alam Flora akan menggunakan lori-lori kompaktor baru yang membolehkan kerja-kerja kutipan dijalankan dengan lebih bersih dan kemas. Pendekatan 2+1 turut diperkenalkan di mana kutipan sisa makanan akan dibuat 2 kali seminggu. Manakala kutipan sisa pukal, sisa kebun dan barangan kitar semula akan dijalankan sekali seminggu. Melalui pendekatan ini, ia dijangka mampu mengurangkan isu-isu pelupusan sampah haram atau illegal dumping.
Berpegang teguh kepada prinsip “ Ke Arah Persekitaran Yang Bersih dan Sihat”, Alam Flora bertekad untuk memberikan perkhidmatan yang cekap dan cemerlang serta bekerjasama dengan PPSPPA bagi mempastikan persekitaran yang bersih, sihat dan juga indah. |